Hidup ini penuh dengan cabaran dan dugaan. Hidup tanpa
dugaan umpama kain putih yang tidak berwarna. Dugaan itu merupakan warna dalam
kehidupan yang membolehkan kita berasa suka dan duka. Dugaan juga membuatkan
manusia lebih matang dalam mengenai erti kehidupan. Dalam hadis pun ada
menyatakan, “Allah akan memberikan dugaan kepada insan yang dirasakan mampu
untuk menghadapi dugaan tersebut”. Dan sesungguhnya insan yang diduga oleh
Allah merupakan insan yang disayangi-Nya.
Setelah itu, kita perlu membuat pilihan pula. Untuk membuat pilihan yang betul dan tepat, banyak pekara yang kita perlu
pertimbangkan, sehingga kita buntu, tiada keputusan dan kekadang kita terlepas
kedua-duanya kerana kita gagal memilih yang mana terbaik dalam hidup kita.
Selalu juga terfikir untuk memilih pilihan yang bukan minat dan kehendak kita
adalah satu pekara yang sangat pahit untuk kita lalui malah mampu menyakitkan
jiwa kita. Apabila mulut kata tak nak, hati kata nak, kita dapat rasa betapa
sakit hati kita untuk menerima perkara tersebut.
♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦
Masih aku ingat lagi, pada zaman sekolah rendah dahulu,
sering bermain cop-cop tiang, kejar-kejar. Itulah rutin aku pada waktu sekolah
rendah. Cara berkawan? Pada aku, cara aku membuat kawan pada waktu itu adalah
berdasarkan berapa kali aku sering bertemu dengannya. Zaman kecil-kecil
merupakan zaman yang sememangnya banyak bermain. Betulkan?
Cabaran. Cabaran yang terbesar perlu aku hadapi pada
waktu sekolah rendah dahulu ialah Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Oh
tidak, pada masa ini memang tidak ada masa untuk aku bermain-main lagi.
Berhempas pulas aku berusaha bagi mendapatkan keputusan yang cemerlang. Berhempas
pulas? Tak juga. Peratusan banyak main lebih tinggi daripada belajar. 5A 5A 5A,
itu sahaja yang bermain dalam kotak fikiran aku. Aku ada juga terfikir, apa
langkah aku lepas ni? Apa destinasi aku lepas ni?
Masih aku teringat lagi perbualanku dengan salah seorang
teman sekolahku.Topik yang dibincangkan merupakan topik hangat diperkatakan
bagi golongan pelajar lepasan UPSR iaitu ... sekolah menengah. Ketika itu kami
dalam perjalanan untuk balik ke kelas selepas habis waktu rehat.
“Aeen, lepas habis sekolah nanti, awak nak pergi sekolah
mana?” Soal Amirah kepadaku samb
“Aku nak pergi MRSM! Macam best je. Awak?” jawab aku dengan beria.
“Erm, aku biasa je. Humble.
Tapi rasa teringinlah nak masuk sekolah sebelah ni. Cantik tengok kakak-kakak
ni pakai tudung labuh. Semua tertutup.” Amirah kelihatan gembira ketika
menceritakan ‘keunikan’ sekolah tersebut.
“Eh, maksudnya? Sekolah agama tu?” Terkejut. Aku tidak
menyangka dia berminat sekolah sebegitu. Aku? Haha.
“Ya!”, jawabnya bangga.
Apa yang mampu aku lakukan? Aku hanya mampu tersenyum.
Setelah siang berganti malam dan malam berganti siang,
tibalah hari yang dinantikan. Hari keputusan peperiksaan pun telah dikeluarkan.
Alhamdulillah, keputusan aku menepati apa yang aku kehendaki. 5A. Aku memang
gembira tahap tak ingat!
Pada suatu malam yang hening abah telah ajak aku berbual
dengannya di meja makan. Aku dengan senang hatinya tanpa sebarang wasangka pun
pergilah. Mungkin ingin berbincang tentang sekolah yang akan aku masuki nanti.
Harap-harap dapatlah pergi sekolah pilihan, MRSM dan SBP!
“Aeen, abah nak hantar kamu pergi sekolah agama depan rumah
ini ya”, kata abah sambil membaca surat khabar Utusan Melayu. Aku kaku.
“Eh, apa abah? Sekolah agama? Tapi Aeen nak masuk MRSM
atau SBP. Lagi baguskan?” kata aku mempertahankan diri. Serta-merta aku
teringatkan Amirah yang juga berkeinginan untuk ke sekolah agama dan masih
terngiang-ngiang apa yang dia perkatakan. ‘Tudung labuh?’.
“Memang bagus, tapi abah tak nak kamu belajar jauh daripada
abah lagi. Kamu tu budak-budak lagi. Remaja kecil! Abah tak cukup membentuk kamu
lagi untuk jadi ‘seseorang’.” cerita abah panjang lebar.
Ya, aku tidak dapat nafikan bahawa segala perancangan
yang ibu bapaku lakukan akan memberi kesan dalam jangka masa panjang. Mereka
kelihatan seperti mengetahui dalam apa yang mereka rencankan. Termasuklah
kehidupanku.
“Seseorang? Apa maksud abah?” aku tertanya-tanya. Abah
sering meninggalkan persoalan yang tidak dapat dirungkaikan.
“Nanti Aeen tahulah apa yang ayah katakan ni. Apa-apa
pun, kamu ikut ja dulu apa yang abah cakap.” Kata abah memberi kata putus. Jika
abah dah kata macam tu, aku kenalah ikut! Gumam aku sendirian.
“Tapi ...” aku terdiam. Harapan dan anganku musnah.
Hancur berkecai.
Aku terus meluru kearah ibuku. Aku pun meluahkan segala
isi hati dan perasaan kepada ibu sambil menangis teresak-esak. Aku berpendapat
mungkin ibu akan menyokong aku. Kuasa air mata.
“Ibu, Aeen nak masuk MRSM. Aeenkan dah dapat 5A? Abah nak
Aeen pergi sekolah agama depan rumah tu. Aeen tak sukalah! Nanti apa pula
kawan-kawan Aeen kata nanti”,” kata aku yang tak cukup matang lagi ni.
“Apa yang kamu risaukan? Sekolah tu bagus tau, top Pulau
Pinang lagi. Apa yang nak dimalukan?” kata ibu. Ibu juga seperti mempertahankan
abah. Peluangku tipis.
“Yalah ibu tapi ...
“, aku kelu dengan kata-kata dan ibu terus memotong percakapanku.
“Aeen, dengar cakap ibu ini. Aeen ikutlah apa yang abah
cadangkan itu, mesti best sekolah agama. Mana-mana sekolah mesti ada kelebihan
dan kekurangannya tersendiri. Ibu dan abah lebih mengetahui apa yang terbaik
untuk kamu. Faham, sayang?” kata ibu terus memujuk aku.
“Erm, baiklah ibu. Aeen ikut cakap ibu dan abah.” Akhirnya,
aku mengalah.
♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦
Sebelum memasuki sekolah agama tersebut, aku terlebih
dahulu perlu menghadapi beberapa ujian kelayakan kemasukan. Untuk pengetahuan
semua, kalau hendak masuk ke sekolah agama kena ambil peperiksaan dahulu. Jika
lulus, baru boleh menjadi pelajar sekolah agama.
Dalam keadaan nak tak nak sekolah agama itu pun, aku
belajar juga. Ibu telah membekalkan pelbagai jenis buku untuk aku ulangkaji.
Dua tiga buah buku jugalah yang ibu bagi, biasalah nak ambil peperiksaan bukan?
Sepanjang tempoh penantian itu, aku agak gundah gulana. Pelbagai perasaan
bercampur baur.
‘Apa akan jadi jika aku lulus nanti? Habislah aku, jadi
ustazahlah aku lepas ni’
Selepas
beberapa bulan, surat ‘hikmat’ pun selamat sampai di rumah aku. Sebaik sahaja
aku membaca baris pertama;
‘Sukacita
dimaklumkan bahawa Nurul Aeen Qaisara Rahman telah diterima masuk ke Sekolah
Menengah Kebangsaan Agama Al-Irshad bagi pendaftaran pelajar Tingkatan Satu
tahun 2009’.
Ingatkan dukacita rupa-rupanya sukacita. Waktu ini, aku
sudah tidak mampu menangis lagi. Redha. Aku cuma tertanya-tanya, ‘Bagaimana aku
boleh diterima masuk?’. Persoalan itu kekal tidak berjawab. Mulai dari detik
itu, ibu bapa aku pun beria mencari barang-barang persekolah yang diperlukan.
Pakaian saiz XL? Tudung labuh? Lengan baju yang
berkancing? Sarung kaki hingga paras lutus? Sarung tangan?
Ya, memang aku tidak nafikan ini merupakan perkara baru
buat aku.
♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦
Pada setiap petang Jumaat, pelajar-pelajar perempuan akan
berkumpul di surau manakala pelajar-pelajar lelaki pula sudah pun berangkat ke
masjid berdekatan bagi menunaikan Solat Jumaat. Kami akan menjalankan aktiviti
usrah. Eh, kejap. Usrah? Apa itu usrah? Pada pendapat aku, usrah merupakan
sebuah sistem tarbiyaah yang diketuai naqib atau naqibah dalam membincangkan
isu-isu semasa dan hal ehwal agama agar kita tidak tergelincir daripada jalan
yang lurus. Dalam kata lain, sesi bertukar pendapat dalam kalangan ahli usrah.
Best!
“Assalamualaikum adik-adik sekalian. Sihat? Sesungguhnya
pada hari ini kakak tidak sebarang tajuk spesifik untuk dikongsikan. Kakak
hanya ingin memberitahu kepada kamu sekalian bahawa awak semua ini orang yang
terpilih dan bertuah.” Kata penceramah tersebut. Beliau kelihatan cemburu.
Cemburu?
Seluruh isi surau kelihatan tertanya-tanya akan penyataan
yang dikeluarkan oleh penceramah tersebut - termasuklah aku. Bertuah? Aku hanya
mampu berfikir pada masa itu hanyalah adalah lebih bertuah jika aku pulang dan
menonton televisyen di rumah. Sesungguhnya itu lebih baik untuk aku. Kemudian,
salah seorang pelajar bangun mengemukakan soalan, “Mengapa, kakak? Kami
bertuah? Apa maksud kakak?” tanya beliau.
“Ya, kamu bertuah. Mengapa? Kakak cemburu kerana
adik-adik sudah berpeluang menghafaz Al-Quran pada usia kakak tengah
bermain-main dengan membuat perkara-perkara lagha bersama kawan-kawan.
Adik-adik mula tutup aurat dengan sempurna di saat kakak masih lagi
compang-camping mencari 1001 alasan untuk memakai tudung dan stoking. Lengan
baju tu kalau boleh lipat lagi pendek, dah nak macam baju sekolah lelaki. Malah,
adik-adik sudah mula faham erti ukhwah fillah pada masa kakak masih gaduh-gaduh
dengan budak-budak lelaki. Tambahan, tidak ada sesiapa pun kisah dengan siapa
kakak mahu kawan, lelaki atau perempuan, belasah saja!” beritahu beliau.
‘Oh, kini baru aku mengerti. Tapi ... kenapa kakak ni
kena cemburu? Bukan ke lagi best?’, aku bermonolong sendirian. Kelihatan
senior-seniorku semuanya tampak terkejut dengan cerita penceramah tersebut.
“Memandangkan ini minggu awal persekolahan, pasti ada
pelajar Tingkatan Satu yang baharu mendaftarkan? Di mana ya mereka?” Dengan
bangganya, aku dan rakan-rakan setingkatan aku yang lain berlumba-lumba mengangkat
tangan tinggi-tinggi agar penceramah tersebut perasan.
“Wah, ramai sungguh ya? Apa perasaan adik-adik sekalian?
Best tak? Ada tak yang merungut nak minta keluar atau perkataan yang lebih
mudah difahami, ‘quit’?” duganya cuba menguji.
Semua pelajar tingkatan satu kelihatan berbisik-bisik
antara satu sama lain. Mungkin ada sesetengah pelajar yang mengiakannya dan
mungkin sebaliknya. Aku? Sudah semestinya sekolah agama bukan pilihan aku pada
asalnya jadi, ...
“Haa lihat, mesti rasa tak bestkan? Pada mulanya, mungkin
adik-adik akan berfikiran begitu tetapi lama-kelamaan, mesti adik-adik rasa
macam tak nak keluar dah! Adik-adik patut berasa beruntung sebab
sekurang-kurangnya adik-adik dah ada ilmu agama sedikit sebanyak sepanjang
berada di sini. Cuma atas niat sama ada adik-adik mahu praktik atas dasar
kerana terpaksa atau ikhlas semata-mata kerana Allah. Dan insyaALLAH semuanya
kerana Allah, bukan?” tanyanya sehingga membangkitkan semangat pelajar-pelajar
di dalam surau tersebut.
“Ya, kerana Allah! Allahu Akbar!” seluruh surau bergema.
Pelajar-pelajar yang sudah terlentok pun sudah terjaga. Bagus.
“Alhamdulillah. Adik-adik semua nak tahu, kamu semua
sebenarnya telah belajar lebih daripada kawan-kawan adik di luar sana. Takkah
begitu? Oleh yang demikian, kamu berkongsilah ilmu dengan kawan-kawan dekat
luar sana. Sesungguhnya, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: Sesiapa
yang ditanya mengenai ilmu lalu dia menyembunyikannya, akan diikat mulutnya
(meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang daripada api neraka
pada hari Kiamat”, (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi).” Kelihatan ramai
pelajar yang sibuk mencatat akan hadis yang disampaikan oleh penceramah
sebentar tadi. Dapat aku simpulkan di sini, pelajar-pelajar sekolah ini sudah
ditarbiyaahkan untuk mempunyai sebuah buku log bagi mencatat segala perkongsian
ilmu. Aku dapat rasakan mereka bersungguh-sungguh dalam mengutip ilmu.
Sejujurnya, ... aku suka.
“Adik-adik, sesungguhnya, ilmu ni luas. Analoginya, andai
digabungkan seluruh lautan di muka bumi ini baru bersamaan dengan setitis ilmu
Allah. Subhanallah. Jadi, adik-adik mestilah rajin nak berkongsi ilmu. Jangan
riak dengan ilmu yang kita ada tu sebab bila-bila ja Allah boleh tarik balik.
Semua ni Cuma pinjaman Allah kepada kita, makhlukNya. Anggaplah ia sebagai
sebuah jihad di jalan Allah.” Tutur penceramah itu lagi sebelum beliau
menyambung. Aku ... terkelu.
“Adik-adik, kakak harap sangat bila awak semua keluar
nanti, adik-adik akan terus beristiqamah dalam menutup aurat, menghafaz al-Quran
dan dalam bermujahadah untuk taat akan perintah Allah. Tak perlulah awak semua
nak rasa menyesal masuk sini, terasa macam dalam penjara sebab semua tu
perasaan sementara sahaja. Okay? Mulai sekarang, adik-adik fokuslah dengan apa
yang adik-adik ada sekarang. Belajar bersungguh-sungguh, hafaz
bersungguh-sungguh. Biar besar nanti, adik dapat bergaya dengan keputusan
akademik yang cemerlang, dapat gelaran hafizah dan lebih ‘awesome’ apabila
amalan dan akhlak adik-adik menjadi cerminan Islam itu sendiri.” Ujarnya
memberi semangat.
Kelihatan semua pelajar berminat dengan apa yang
disampaikan oleh penceramah tersebut. Aku juga sudah makin terbuka hati untuk
menerima sekolah ini sebagai gedung ilmu untuk aku berjuang. Pada pendapat aku,
sekolah agama bukan sahaja menjadi langkah untuk menjadi seorang ustaz mahupun
ustazah tetapi, kamilah kader-kader dakwah yang akan menegakkan Islam di muka
bumi ini! InsyaAllah.
‘KAMI?’, bisik hatiku.
“Konklusinya adik-adik, marilah kita sama-sama berusaha.
Yang mana kita kurang, kita tambah. Yang mana kita lebih, kita kongsi.
Teruskanlah adik-adik mengingati diri sendiri. Mengapa? Sebab cita-cita kita
adalah menuju matlamat yang sama iaitu ... mencapai redhaNya”, butir bicara
terakhir penceramah tersebut terus bermain dalam benak fikiranku. Mencapai redhaNya.
♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦
“Syazana, apa yang buatkan kau nak masuk sini? Kerelaan
sendiri?
“Mesti, sekolah ni sekolah top dekat Penang kut! Takkan
tak nak. Plus, dekat dengan rumah. Tak payah duduk asrama. Hi hi hi”
“Oh, ye ke? Hmm.”
“Kenapa? Kau tak suka duduk sini?”
“Entah. Aku rasa tak boleh adapt dekat sini. Subjek
banyak! Bahasa Arab pulak tu. Kau tak rasa susah ke?”
“Ha ha ha. Aku dah agak. Alah, aku pun ada masalah jugak
tapi sama-samalah kita berusaha. Man jadda wa jada!”
‘Ya, man jadda wa jada. Siapa yang akan berusaha, dia
akan berjaya. Siapa yang malas, dia akan gagal’ bisik hati kecilku.
♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦
Dalam sedar tidak sedar, dah genap tiga tahun aku
bermastautin di bumi Irshad. Pelbagai suka duka sudah aku lalui di sini. Baik
dari segi fizikal, rohani, emosi dan jasmani. Namun, setelah keluar sahaja
keputusan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), aku diduga sekali lagi. Aku telah
ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke Kolej Tunku Kurshiah bagi sesi 2013
di Tingkatan Empat. Pada ketika itu hanya Allah yang tahu betapa gelisahnya aku
dalam membuat pilihan. Aku tersepit antara dua pilihan. Ibu bapaku telah
memberi kata putus untuk aku biar aku sambung pelajaran di sana. Manakala aku
telah menetapkan untuk kekal di bumi Irshad ini. Masih terbayang-bayang lagi
perbualan aku dan ibu bapaku.
“Abah percaya Aeen dah boleh bawak diri. Try to adapt yourself there. Can you?”
kata abah memujukku.
“Tapi abah, abah dah cukup ke bentuk Aeen untuk menjadi
seseorang? Aeen masih tertanya-tanya, apa maksud abah tu. Dah lama Aeen simpan
persoalan ni tapi Aeen pendamkan saja”
“Ya, abah dah membentuk kamu. Alhamdulillah, selama tiga
tahun ni kamu dah ikut acuan yang abah buat. Cuma tinggal kamu sahaja nak ikut
ataupun tidak”
“Maksud abah?”
“Iyalah, abah dah bentuk kamu macam ni macam ni, sekarang
ni abah dah nak lepas kamu study jauh. Dalam erti kata lain, rela. Yang tinggal
kamu je nak tentukan nasib kamu sendiri”
“Oh, macam tu ke. Okay abah”, itu sahaja yang aku mampu
terjawab.
AKU? Sudah terang lagi bersuluh yang aku tidak mahu!
Sekolah perempuan kut! Tidak pernah wujud dalam mimpi aku untuk berada di dalam
sebuah sekolah perempuan. Bayangkan ... pandang kiri, perempuan. Pandang kanan,
perempuan. Tak pandang apa-apa, masih perempuan! Argh, apa ni? Stress! Sekali
lagi, aku perlu membuat pilihan!
♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦
Menjadi pelajar baru pada Tingkatan Empat merupakan
perkara yang paling pelik aku pernah lakukan. Pelajar yang menyambut tetamu,
perempuan. Pelajar yang menjaga kaunter pendaftaran, perempuan. Pelajar yang
menjaga trafik, PEREMPUAN? Apakah ini?
Cabaran. Ya, terlampau banyak sehingga membuatkan aku
menitis air mata mengenangkannya. Sejujurnya, cabaran aku lebih banyak ketika
berada di sini. Namun, cabaran itulah yang mematangkan aku. Lebih-lebih lagi
apabila orang mula mempertikaikan aku sebagai bekas pelajar sekolah agama.
“Aeen, kau tahu tak doa masa Nabi Ibrahim hampir nak kena
bakar tu?”
“Doa yang Nabi Ibrahim baca tu? Aku tahu. Kenapa?”
“Boleh tak kau terangkan dekat aku apa maksud dia? Ada
ceritakan? Kau ceritakanlah dekat aku. Boleh?”
“Er, sorrylah Siti. Aku tak tahu, yang aku dapat tangkap
‘Hasbunallah’ tu maksud dia cukuplah Allah. ‘Wa ni’mal wakil, ni’mal maula wa
ni’mal naseer’ aku tak pasti.”
“Huh? Kau tak tahu? Kau sekolah agamakan dulu? Belajar
Bahasa Arab kan?”
“Ya, memang aku sekolah agama dahulu. Jadi?” jawab ku
endah tidak endah. “Tak bermakna aku sekolah agama aku tahu semua benda.
Mentaliti kau salah. Ya, aku belajar Bahasa Arab tapi ilmu aku still tak cukup.
Kau kena sedar tidak kira sama ada seseorang tu pelajar sekolah agama atau
tidak, aliran sains atau sastera, kita punya pegangan yang mesti kita ikuti,
iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Kehidupan beragama itu perlu mengalir dalam darah
setiap manusia yang mengaku beriman pada Allah Taala dan RasulNya. Di akhirat
nanti, bukanlah title 'pelajar sekolah agama' yang akan dibentangkan, tapi
sejauh mana tuntutan agama yang kita amalkan. Kau faham?” Terang aku dengan
jelas dalam memberi kedudukan yang sebenar kepadanya.
“Hmm.” Gumamnya rendah. Lidah kelulah tu.
“Jadi kalau ada sesuatu yang kita musykil dan nak tahu,
sewajarnya kita pergi cari sendiri. Aku rasa lagi puas hati kalau kita dapat
apa yang kita nak daripada meminta pendapat orang lain. Tak gitu?”
“Baiklah. Aku minta maaf. Aku tak patut kata macam tu.
Hmm. Jadi, apa maksud doa tadi tu?”
“Ya, tak apalah. Benda kecil.” Jawabku sambil tersenyum.
“Betul, kisah Nabi Ibrahim ni! Diriwayatkan bahawa kisah Nabi Ibrahim a.s
dimana baginda ketika itu dijatuhkan hukuman oleh Raja Namrud untuk dilemparkan
ke dalam api sebab baginda hancurkan patung-patung berhala tu. Kemudian Jibril
datang kepada baginda dan bertanya "Adakah engkau mahu sesuatu pertolongan
dariku?" Kemudian, Nabi Ibrahim menjawab "Aku tidak memerlukan
apa-apa darimu, aku hanya perlukan pertolongan dari Allah" Kemudiannya,
Nabi Ibrahim pun menyebut kalimah "Hasbunallah Wa Ni'mal Wakil",
Dengan izin Allah, api itu menjadi dingin, Nabi Ibrahim pun selamat. Begitulah
ceritanya!”
“Wah, subhanAllah! Aku mungkin dapat mengagak apa maksud
doa ini. Pada pendapat aku, doa ini memberi sepenuh pengantungan kepada Allah
di kala susah dan senang. Bergantung padaNya. Hanya Dia pelindung kita. Menjadikan
Allah sebagai sumber utama tidak kira apa jua keadaan kita sama ada waktu sedih
ataupun waktu senang. Kan?” katanya memberi pendapat sendiri. Kagum.
“Betul, aku setuju dengan kata-kata kau tu. Janganlah
waktu senang kita lupa Dia tapi di kala waktu sedih, Dia orang pertama yang
kita cari. Nampak tak? Aku harap sama-samalah kita amalkan doa ini. Okay?”
kataku kepadanya. Secara tidak langsung pesanan buat diriku sendiri.
♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦
SPM makin dekat! SPM makin dekat! Cuak! Tapi aku paling
suka waktu ini. Kenapa? Ketika inilah aku dapat lihat semua rakan-rakan batchku
saling membantu antara satu sama lain bagi mendapatkan keputusan yang cemerlang.
Kami sama-sama bersatu padu berganding bahu bagi menaikkan gred sekolah. Ya,
menjadi cabaran buat kami apabila gred pada batch tahun lepas telah menaik
dengan mendadak. Jadi, guru-guru telah memberi sepenuh harapan buat kami agar
dapat memecahkan rekod tahun lepas.
“Guys, like seriously I’m scared to death. Ya Allah, all
my body cannot stop shivering!” salah seorang rakan aku yang berlidah mat saleh
berkata.
“Relaxlah korang, gelabah sangat pun tak boleh jugak.”
“Betul! Nak kata tak usaha, kita dah usaha dah. Sekarang
ni kita tawakal. Spill out semua yang kita dah belajar masa SPM nanti.
InsyaAllah Dia bantu kita. Okey?
“La tahzan innallaha maana. Allah tahu apa yang terbaik
buat kita dan serahkan segalanya pada Dia.”
Ya, jangan bersedih. Usaha. Tawakal. Redha.
♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦
Aku
mengikat muffler di leher. Kemudian laju aku menggosok telapak tangan untuk
memanaskan jari yang sudah beku sampai tidak terasa apa-apa. Betul. Kalau jari
patah pun tak terasa apa-apa agaknya. Dah sejuk beku bawah freezing point pun.
Padahal ni baru autumn! Belum winter lagi. Ahhhh! Pertama kali menjejak tanah
Scotland ni memang terketar lutut dengan
kepala gigi. Terasa hendak berbungkus dengan berlapis-lapis baju macam orang
Eskimo dekat Alaska je. Dan pertama kali juga tengok mulut sendiri keluar asap
apabila bercakap. Nak tergelak pun ada juga sebenarnya.Ketika itu, aku bersama
dengan Edina, kawan masa buat International Baccalaureate (IB) sekali.
“Aeen... tolong aku. Aku ni dah sejuk tahap tak ingat
ni!” Edina disebelahku merengus tiba-tiba.
“Aku
tahu. Kau tahanlah sikit. Ingat Scotland ni macam Kuala Lumpur ke?” Kalau ya,
takkanlah aku duk menahan sejuk ni. Tolonglah faham.
Edina pun ikut tersengih. “Terasa macam nak patah balik
rumah je ni. Ada water heater, boleh panaskan badan sikit daripada kena redah
sejuk tahap entah berapa darjah celcius ni.”
“Kau
jangan nak mengada. Jangan sampai aku seret aku sampai uni.” Aku mengacahnya.
Ketawa kami pun pecah.
♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦♦
Tengoklah sekarang. Pejam celik pejam celik dah hampir
tamat pengajianku di United Kingdom ini. Masa cepat betul berlalu. Macam baru
semalam dapat keputusan SPM. Macam baru semalam saja dapat surat tawaran ke
United Kingdom. Dan macam baru semalam saja pertama kali menjejakkan kaki di
bumi bertutup salji ini. Sejuk. Dan kini bila mengimbas kembali memang dah jauh
masa-masa itu sebenarnya.
Sesungguhnya, membesar dan belajar dengan pengetahuan
serta pengalaman adalah suatu cabaran. Cabaran hidup merupakan sesuatu yang
cukup mendewasakan dan mematangkan kita. Jika kita rasa cabaran kita dah cukup
teruk, percayalah ramai lagi orang di sekeliling kita mengalami cabaran hidup
yang lebih hebat. Jadi, jangan mengalah dengan masalah. LAWAN!
Usaha tangga kejayaan. Malah, sukar untuk melihat
kejayaan datang bergolek. Hanya manusia terpilih sahaja yang akan mendapat kejayaan
tanpa usaha yang gigih. Sebagai manusia yang beragama Islam, aku sentiasa
menghafal formula ini jika ingin mencapai kejayaan. Usaha + Doa + Tawakal =
Kejayaan.
Sedih..
Kecewa..
Patah hati..
Semua itu hanya
sementara.
Kau pasti akan
melupakan apa yang telah berlaku.
Tapi bila?
Bila kau dah mula
gembira dengan kehidupan kau yang selepas dari apa yang terjadi.
Bila kau dah jumpa
kebahagian yang kau cari.
Bila kau dah mula
berjaya dalam hidup kau.
Tapi..
jangan sesekali kau
lupa asal keturunan kau.
Jangan sesekali kau
lupa mereka yang membesarkan kau
Jangan sesekali kau
lupa mereka yang telah membantu kau
Tanpa dugaan dan
cabaran kau pasti tak akan berubah..